Sunday, August 16, 2009

Bengkel Kecemerlangan & Teknik Menjawab Soalan UPSR 2009


Agenda pendidikan merupakan agenda utama di dalam UMNO Bahagian Kota Melaka di bawah kepimpinan YB Datuk Latiff Bin Datuk Hj. Tamby Chik, Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka. Bermula dari tahun 2005 dan hingga ke hari ini sudah 5 tahun agenda pendidikan menjadi teras utama di dalam UMNO Bahagian Kota Melaka. YB Datuk Latiff telah mengamanahkan setiap sayap dimana Puteri diamanahkan untuk menjaga adik-adik UPSR, Pemuda diamanahkan menjaga adik-adik PMR dan Wanita diamanahkan menjaga adik-adik SPM.

Bengkel Kecemerlangan dan Teknik Menjawab Soalan UPSR 2009 ini merupakan program kedua anjuran Biro Pendidikan Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka yang telah diadakan pada 06hb Jun 2009 hingga 08hb Jun 2009 di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Masjid Tanah. Penyertaan seramai 87 orang terdiri daripada anak-anak ahli UMNO di dalam Bahagian Kota Melaka.

Di dalam bengkel ini para pelajar didedahkan dengan teknik dan cara menjawab soalan dengan betul oleh para penceramah yang berpengalaman di dalam mata pelajaran masing-masing.

Selain dari bengkel, pelajar turut diberi peluang melihat tayangan 3D dan melihat bulan pada hari pertama. Manakala pelbagai aktiviti riadah dijalankan seperti poco-poco, bola beracun, sukaneka pantai da permainan barang kesayanganku bagi melatih peserta untuk bekerjasama sesama ahli kumpulan.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Y.Bhg En. Zaini Bin Ismail, Setiausaha UMNO Bahagian Kota Melaka yang mewakili YB Datuk Latiff B. Datuk Hj. Tamby Chik. Turut hadir adalah Pn. Seriwani Sabtu, Exco Puteri Malaysia merangkap Pengerusi Biro Pelajaran UMNO Malaysia sebagai tetamu kehormat pada majlis berkenaan dan jawatankuasa UMNO Bahagian, Puteri, Wanita dan Pemuda Bahagian Kota Melaka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.